Friday, May 3, 2013

Karangan Biografi UPSR: Rakan Baik Saya

Assalamualaikum! Hari ni, Zelia rasa nak cuba buat karangan. Hahaha boleh tak? Hentam lah ek. xD Silakan membaca:

   Setiap orang mempunyai rakan baik, tidak terkecuali saya. Nama rakan saya itu Syarifah Nurul Kautsar. Namanya yang agak panjang itu membuatkan saya dan kawan-kawan yang lain hanya memanggilnya Kautsar.  Dia dilahirkan pada 5 Ogos 2001 di Hospital Pakar Ampang Puteri sebagai puteri bongsu kepada pasangan Syed Kamal Ariffin dan Juhaida Ismail. 

   Gadis yang berdarah campuran ini menjadi sahabat saya sejak kami darjah tiga lagi. Sikapnya yang ramah-tamah dan ceria ini membuatkan saya senang berkawan dengannya. Dia juga seorang yang rajin dan berbudi bahasa orangnya. Malah kebanyakan budi bahasa yang saya mempraktikkan sekarang ini hasil tunjuk ajar dan nasihat daripadanya.

   Kautsar merupakan antara murid paling cemerlang di sekolah kami. Kebijakkannya dalam matapelajaran Matematik dan Sains mendapat pujian daripada guru-guru dan rakan-rakan. Dia juga tidak kedekut ilmu dan sentiasa bersedia menolong jikalau saya tidak memahami sebarang soalan Matematik atau Sains. Sebagai balasan, saya akan menolongnya dalam matapelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

   Rekod disiplin Kautsar yang bersih sepanjang enam tahun di sekolah menjadikannya Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah bagi sesi 2013. Dia menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Disebabkan itu, dia menjadi idola kepada kebanyakan murid termasuklah saya.

   Hobi Kautsar ialah melukis. Mungkin hobi itu biasa-biasa dan tiada apa yang istimewa, namun bakat Kautsar menjadikan hobi itu unik sekali. Mana tidaknya, hasil lukisan yang dipanggilnya 'contengan' sungguh cantik seperti watak dalam cerita Jepun. Jikalau 'hasil contengannya' begitu cantik, apatah lagi lukisan yang diusahakannya dengan bersungguh-sungguh. Dia juga seorang gadis yang kreatif.

   Harapan saya, semoga persahabatan kami kekal sehingga akhir hayat. Saya berasa sungguh bangga mempunyai sahabat sehebat ini.